"DENGAN NAMA ALLAH SWT YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG"
Perkongsian Bersama Untuk Anda dan Diri Saya:
“Katakanlah (Wahai Muhmmad): Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah s.a.w.), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali 'Imraan, 3:31)
Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Nabi Muhammad shallallahu’alaihi wasallam.
Rasulullah sebagai penerima wahyu telah mengajarkan kepada kita beberapa amalan sunnah yang wajar dilakukan pada hari Jumaat. Namun mungkin akibat keterlekaan dan kealpaan kita membuat kita terlupa untuk melazimi sunnah-sunnah tersebut. Oleh itu, di sini kita cuba menyenaraikan kembali sunnah-sunnah yang semakin luput dan dilupakan beserta dalil sebagai panduan bersama.
1.Mandi, membersihkan diri, bersugi, dan memakai wangian, dan mengenakan pakaian yang terbaik.
Ini berdasarkan hadith yang disampaikan oleh Salman al-Farisi radhiallahu’anh daripada Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, baginda bersabda:
“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang ”. [Riwayat al-Bukhari]
2.Bersegera ke masjid dan tinggalkan urusan lain.
Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9,“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"
3.Membaca Surah al-Kahfi BUKAN Surah Yaasin pada malam atau siang hari Jumaat.
Membaca Surah Yaasin adalah sesuatu yang mulia dilakukan oleh setiap muslim, sepertimana mambaca surah-surah al-Quran yang lainnya. Namun, untuk mengkhususkannya pada waktu tertentu seperti pada malam Jumaat adalah suatu yang tidak dijumpai dalam mana-mana dalil sahih malah bercanggahan dengan petunjuk Baginda nabi. Sedangkan setiap ibadah adalah terhenti (tidak dilakukan) sehinggalah dijumpai dalil atau nas yang menunjukkan pensyariatannya.Oleh itu, saya dengan segala rendah diri mengajak kalian semua untuk meninggalkan amalan yang bercanggahan dengan sunnah Baginda ini.
Adapun pada malam Jumaat, Rasulullah telah mengajarkan kita untuk membaca keseluruhan surah al-Kahfi sebagaimana sabdanya:“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat”. [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi, dan al-Hakim]
4.Menuju ke masjid dengan berjalan kaki, bukan berkenderaan.
“Sesiapa yang mandi dan membersihkan diri pada hari Jumaat dan bersegera (keluar menuju ke masjid) dengan mencari posisi paling hampir dengan imam dalam keadaan diam, maka setiap jejak langkahnya itu pahala seumpama puasa setahun pada siangnya dan mendirikan ibadah pada sebelah malamnya. Hal demikian itu bagi Allah adalah sangat mudah”. [Riwayat Imam Ahmad, al-Thabarani, dan Ashab al-Sunan. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah]
5.Mendirikan solat sunat MUTLAK.
Solat sunat Mutlak bukanlah satu yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia, lantaran mereka sudah terbiasa dengan solat sunat Qabliyah Jumaat. Hal ini agak menghairankan kerana Imam Syafi’I rahimahullah sendiri telah membincangkan pensyariatan solat sunat Mutlak dalam karyanya yang agung, kitab al-Umm.Berkenaan solat sunat Mutlak ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani rahimahullah berkata:“Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila saja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya”. [Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, dinukil daripada buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus, mukasurat 105]
Berkenaan riwayat yang menunjukkan adanya solat sunat qabliyah Jumaat, -wallahua’lam- tiada satu pun daripada riwayat-riwayat tersebut yang dapat dijadikan hujah lantaran kelemahan dan kecacatan yang berbeza-berbeza. Berkata al-Hafiz al-‘Iraqi:“Tidak ada diriwayatkan dari Nabi Shallahu’alaihi wasallam bahawa baginda solat sebelum Jumaat (Qabliyah Jumaat – penulis), kerana beliau biasa keluar rumah menuju solat Jumaat, lalu datang muadzin azan di hadapan beliau, kemudian beliau terus berkhutbah” [ Nailul Authar 3/216]. Dinukil dari kitab Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah. Edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia bertajuk "Jawaban Penting Pertanyaan Seputar Solat Jumaat" oleh Abu Umar Basyir al-Maidani, al-Qowam, mukasurat 51]
6.Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat.
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ammar radhiallahu’anh,“Sesungguhnya lamanya berdiri solat seorang lelaki dan pendeknya khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjang solat dan memendekkan bacaan khutbah!” [ Riwayat Muslim]
7.Tidak mengangkat tangan berdoa di antara dua khutbah dan ketika imam berkhutbah.
Sedia maklum bahawa perbuatan menadah tangan adalah suatu yang disunnahkan tatkala berdoa. Namun, menadah tangan dalam khutbah Jumaat bukanlah suatu sunnah, malah ia bercanggahan pula dengan sunnah Baginda. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud:“Daripada 'Umarah ibn Ru'aibah yang melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata, “Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya” dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya”.
8.Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat.
Para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat ba’diyah Jumaat adalah disyariatkan. Terdapat dua pilihan bagi mengerjakannya; iaitu samada dilakukan dua rakaat atau empat rakaat dan kedua-duanya adalah sunnah. Ini berdasarkan kepada hadith-hadith di bawah:
a) Daripada Abu Hurairah rahiallahu’anh, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda:“Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) jumaat”. [Riwayat Imam Muslim]
b) Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:“ Rasulullah shallahu’alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya”. [Riwayat Imam al-Nasaei]
9.Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada hari Jumaat.
Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu’anh beliau berkata, Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda:“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)
Di dalam laman web beliau, Ustaz Zaharuddin telah memberi komentar tentang hadith ini:“Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib”.
Demikian antara sunnah-sunnah pada hari Jumaat sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad al-Musthofa shallallahu’alaihi wasallam kepada kita yang semakin dilupakan dan kurang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat.Oleh yang demikian wahai sekalian muslim yang budiman, mari koreksi diri kita sejauh mana kita dalam mengamalkan sunnah Baginda. Apakah kita layak menggelar diri kita pengikut sunnah jikalau sunnah Jumaat pun sering diabaikan. Ingatlah, betapa besarnya ganjaran buat mereka yang berpegang teguh kepada sunnah tatkala umat lalai kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda, "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku (setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam agama), karena setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat."
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).
Semoga memberi manfaat kepada kita. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment