KITAB TAJUL MULUK MENGANCAM AKIDAH.

.

siapa2 yg selalu post bnde2 mcm neh. rahsia tarikh lahir lah, rahsia hari lahir, bentuk muka and mata and so on. tlglah stop. mengancam akidah. JAKIM pun dah haramkan pengeluaran kitab tajul muluk. sabda Rasulullah s.a.w barangsiapa yg mendatangi tukang ramal/ tukang tenung kepadanya. Tidak akan diterima solatnya selama 40 hari.so bygkan kalao korang post n org baca n percaye. xpasal2 je dpt dosa. betaon2 xditerima solat sbb rmai yg bc! sekian. sbg peringatan utk diri sendiri n kwn2!



ADA APA DENGAN KITAB TAJUL MULUK. Ia merupakan sebuah kitab yang digunapakai oleh orang melayu zaman silam. Antara kandungan kitab ini ialah menyatakan ubat-ubatan tradisional bagi mengubati berbagai-bagai penyakit, suratan azimat dan rajah dan juga bacaan doa, jampi serapah dan hal-hal berkaitan nujum, jin dan sebagainya.

Sebenarnya kitab ini sudah lama dipinggirkan dan layak dianggap sebagai klasik. Kefahaman dalam beragama dan kesedaran tentang pentingnya akidah mengakibatkan kitab Tajul Muluk semakin pupus. Tapi, harapan para pencinta agama agar kitab Tajul Muluk yang mengarut ini menjadi pupus seperti dinosaur, rupa-rupanya tidak kesampaian. Entah dari mana datangnya sekumpulan manusia yang begitu gigih mempromosikan kesesatan kitab Tajul Muluk.Perkembangan teknologi maklumat dieksploitasi dengan begitu hebat untuk mengikis dan menghakis akidah. Lihat sahaja kat Facebook, betapa hebatnya sambutan terhadap aplikasi Sifat Wanita Mengikut Tajul Muluk . .

(kitab tajul muluk versi klasik)


Binggung dan sungguh binggung apabila melihat keghairahan segelintir pengguna facebook yang begitu berselera dengan aplikasi Sifat Wanita Mengikut Tajul Muluk. Ada yang begitu teruja kerana sebahagian sifat-sifat yang dinyatakan menepati dirinya. Ada juga yang beralasan sekadar suka-suka sahaja. Namun harus diingat, suka-suka tu termasuk dalam bab redha meredhai dan restu merestui. Tidak wajar dan tidak waras untuk kita meredhai dan merestui segala bentuk kesesatan. Saya teringat kata-kata seorang rakan “ lebih baik upload gambar bogel kat facebook daripada letakkan rahsia tarikh lahir dan sikap wanita mengikut tajul muluk. Sekurang-kurangya gambar bogel ni tak bawa syirik.” Walaupun sekadar jenaka, tapi saya yakin, ia lahir dari hati yang memberontak terhadap penyebaran virus sesat yang kian rancak di facebook.

Sebelum melanjutkan bicara, eloklah kita rujuk dahulu, penjelasan dari JAKIM tentang status kitab Tajul Muluk. Sebenarnya, sejak tahun 2007 lagi JAKIM telah mengharamkan kitab ini. Antara ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh JAKIM ialah:

Kita boleh mempelajari Kitab Tajul Muluk, tetapi kita tidak boleh
mempercayainya kerana ia boleh membawa kita kepada syirik kepada Allah
S.W.T. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al -Maidah ayat
90 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala
dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor
(keji) dari perbuatan syaitan,oleh itu hendaklah kamu menjauhinya semoga
kamu berjaya".

Oleh itu , hendaklah mempelajari ilmu dari guru-guru yang diiktiraf
oleh pihak berkuasa agama dan kitab-kitab yang muktabar supaya ilmu-ilmu
tersebut memberi manfaat kepada diri di dunia dan di akhirat.
Sila klik JAKIM untuk info ini.




Dan, syukur juga kepada Allah S.W.T, kerana dengan izin-Nya,pada 7. Julai. 2011, saya telah digerakkan hati untuk menghubungi bekas seorang mufti untuk bertanyakan beberapa kemusykilan. Antaranya berkaitan dengan Kitab Tajul Muluk. Kata bekas mufti tersebut, kesesatan kitab Tajul Muluk telah lama dibincangkan oleh para mufti dan ia adalah antara kitab yang diragui, lalu dilarang daripada diajarkan kepada masyarakat. Saya rahsiakan nama dan no telefon bekas mufti yang saya maksudkan. Jika sahabat inginkan no telefonnya bolehlah emailkan kepada saya.

Sekarang saya paparkan antara Sifat-Sifat Keji Dan Hina( yang saya boldkan) Yang Dimiliki Oleh Wanita Berdasarkan Hari Kelahiran Dan Sifat-Sifat Fizikalnya Menurut Kitab Tajul Muluk.
Wanita yang lahir pada hari khamis, merupakan wanita yang suka menyinggung hati orang lain. Cakapnya kesat, kemahuan kuat, dan bersikap agresif. Rajin dan tekun bekerja, tak suka diganggu ketika bekerja, bercita-cita tinggi. Boleh terpikat kepada lelaki lain walaupun sudah ada kekasih atau suami. Hatinya tidak tetap, mudah terpedaya dengan pujuk rayu sehingga tak kenal antara yang baik dan buruk. Dia pandai mengurus dan merancang kewangan. Pada awal perkahwinan, tunduk pada suami, akan berubah apabila sudah lama berkeluarga. Seksualnya tinggi, jika tak pandai mengawal nafsu boleh terdorong ke lembah hina.

Begitu juga dengan sifat fizikal, Wanita yang bibirnya selalu terbuka amatlah kuat nafsu syahwatnya, suka bertukar pasangan, tapi berdisiplin dalam kerja, selalu dapat kejayaan, pandangan luas, optimis, mudah jatuh cinta dan tergila-gila.


Wanita yang tebal bibirnya pula sukakan kemesraan, suka kebebasan, berfikiran terbuka, gemar cakap soal cinta dan seks, dapat memberi kesenangan, suka mencemuh dan membuat malu, tidak suka berpura-pura, kuat meyimpan rahsia, kuat bersolek, kurang ambil berat pada suami, rumahtangga dan anak-anak.
Sekarang mari kita lihat betapa bahayanya kitab ini. Cuba bayangkan, andainya seseorang lelaki beristerikan atau bertunang dengan wanita yang lahir pada hari khamis , dan memiliki sebahagian atau keseluruhan ciri-ciri fizikal yang saya boldkan seperti di atas. Bayangkan juga, si lelaki atau suami itu pula buta agama dan mandul akal. tiba- tiba si suami pula dia mempelajari kitab ini. Pasti sahaja, si suami atau si tunang itu akan mula merasa sangsi dan mencurigai isterinya itu. Keadaan akan semakin parah, andainya ditakdirkan si isteri itu memiliki sekelumit akhlak yang tidak elok seperti mana yang diramalkan oleh kitab karut ini. Tentu sahaja, ia akan meruntuhkan kerukunan rumah tangga yang di bina.

Sekarang kita lihat kesan buruk yang seterusnya, iaitu kesan ke atas agama dan lebih tepat lagi terhadap akidah. Kitab Tajuk Muluk ini,seakan-akan menuduh Allah itu zalim dan kejam. Apa tidaknya, orang-orang yang ditakdirkan lahir pada hari tertentu dan memiliki ciri-ciri fizikal tertentu dianggap sial,hina dan keji. Jujur dan ikhlas, persoalan masa lahir ( baik hari mahupun tarikh) dan sifat-sifat fizikal, manusia sebenarnya tiada pilihan melainkan mengikut sahaja kehendak Allah. Itu adalah takdir. Takdir tidak sekadar suratan tapi ia merupakan kurnian-Nya. Jadi, siapakah kita untuk mempertikaikan kurnian Allah kepada kita. Jadi, bila meramalkan hari lahir yang tertentu dan sifat fizikal tertentu membawa sial, itu bererti menuduh Allah sebagai Tuhan Yang Maha Kejam dan Tuhan Yang Maha Zalim. Tidakah ini membawa kepada syirik.

Walaupun JAKIM mengatakan Kita boleh mempelajarai Kitab Tajul Muluk, tetapi ia disusuli dengan larangan, iaitu tidak boleh mempercayainya. Begitu juga dengan Prof Madya Dr. Abdul Hayei Shukor, seorang ilmuan Hadis yang berasal dari Kelantan (Sila klik SINI ) mengatakan, kitab-kitab seperti Tajul Muluk boleh dibaca dan dipelajari, namun beliau turut menyatakan syaratnya, iaitu Jika pembaca berpendapat, dirinya tidak akan dipengaruhi unsur-unsur yang menyesatkan akidahnya. Nyata sekali, walaupun dibenarkan dan diizinkan untuk membaca dan mempelajari kitab ini, namun ia tetap kekal bersyarat.

Amat tidak waras andainya mewajarkan semua pihak untuk membaca dan mempelajari kitab Tajul Muluk. Untuk para alim ulama termasuk para mufti dan pensyarah-pensyarah pengajian islam di mana-mana pusat pengajian tinggi, membaca kitab Tajul Muluk sememangnya wajar dan waras untuk kajian dan penyelidikan. Tetapi untuk orang awam pula apa manfaatnya. Untuk suka-suka atau sekadar untuk dijadikan aksesori facebook.

Andainya kita ingin mewajar dan mewaraskan semua pihak untuk membaca dan mempelajari kitab Tajul Muluk, mengapa pula kita melatah apabila pihak tertentu ingin menerbitkan bible berversi melayu. Mengapa kita perlu bimbang andainya bible versi melayu dijual dan disebarluaskan kepada semua warga Malaysia, termasuk kepada umat islam.

Tentu sekali tidak wajar dan tidak waras andainya umat islam yang buta Al-Quran tiba-tiba diajar supaya memahami bible. Juga,tidak wajar dan tidak waras andainya umat islam yang belum mantap akidahnya, tiba-tiba dipelawa untuk mempelajari dasar-dasar akidah dan ilmu teologi Krisitian dan lain-lain agama. Tapi, lain pula kepada tokoh-tokoh islam yang terlibat dalam perbandingan agama seperti Ahmed Deedat dan Dr. Zakir Naik. Kepada mereka, perbuatan membaca, mempelajari dan mendalami bible dan mana-mana kitab agama lain amatlah wajar dan sangatlah waras.

Seperkara lagi yang harus difahami, Kitab Tajul Muluk sebenarnya amat sinonim dengan ilmu astrologi zaman silam,khususnya bagi masyarakat Melayu dalam menafsirkan watak-watak manusia, tabiat dan cintanya, hari yang baik dan terjemahan lain dalam kehidupan sehari-hari. Tentang hukum astrologi, iaitu meramalkan apa yang bakal berlaku telah saya nyatakan pandangan ulama-ulama tempatan dalam entry saya yang lepas ( klik sahaja Rahsia Tarikh Lahir) dan kali ini saya paparkan pula fatwa ulama al-Azhar, iaitu Fatwa Syeikh Ahmad al-Sharbasi dalam bukunya Yas`lunak fi al-Din wa al-Hayat,katanya:

"Apa jua jenis ilmu yang mendakwa boleh tahu perkara ghaib, semuanya dikategorikan sebagai ilmu hitam yang haram dipelajari atau dipercayainya, sama ada yang menggunakan kaedah hisab bintang, rajah, malihat tapak tangan, melukis pada pinggan mangkuk dan lain-lain. Kaedah ini banyak diguna oleh penipu-penipu yang berminat mencari rezeki dengan cara mudah, kadang-kadang ada yang membuat promosi khidmatnya secara profesional"

Tambahan Info Tentang Kesesatan Ilmu Astrologi Termasuklah Rahsia Tarikh Lahir
1) Klik USTAZ MUHD KAZIM ELLIAS untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Muhd Kazim tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.

2) Klik DR ASRI ZAINUL ABIDIN untuk menonton rakaman kuliah Dr Asri tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.

3) Klik DR ABDUL BASIT ABDUL RAHMAN untuk menonton rakaman kuliah Dr Abdul Basit tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.

4) Klik USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Zaharuddin tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.


P/S: Kitab Tajul Muluk merupakan virus sesat yang sedang merebak dengan pantasnya di facebook. Jadi vaksinnya juga perlu menerusi facebook. Oleh sebab itu, saya harap sahabat sudi likes atau share on facebook ‘vaksin’ ini demi kelangsungan dakwah.









Credit : bicaradariaku









1 comment:

cik jannah said...

yakin dengan janji ALLAH. cukuplah.